Tuesday, December 28, 2010

Harith dan Taska

Sebenarnya sudah beberapa bulan saya berkira-kira untuk menghantar harith ke taska bermula tahun 2011...cuma rancangan saya tergendala tatkala memikirkan beberapa faktor...terutama melibatkan hasif...Apakah adik hasif akan ok bilamana abang kesayangannya tidak lagi bersama di rumah pengasuh. Selama ni abang harith menjadi peneman adik hasif semasa ketiadaan umi & abi...abang harith bukan saja teman adik hasif bermain tapi juga teman bergaduh ;)

Sebentar tadi saya menghubungi Teacher Siti...cikgu taska berhampiran dgn rumah. Sebaik sahaja panggilan dijawab, teacher siti menyebut nama saya. Seingat saya baru sekali saya menelefon beliau, itupun sudah lebih sebulan lalu. Itu menunjukkan beliau mengganggap setiap orang adalah penting, walaupun cuma seorang ibu seperti saya. Mudah-mudahan anak-anak di bawah jagaannya juga dijaga sebaik mungkin.

Sebetulnya saya agak berminat dengan konsep smartreader. Saya sudahpun ke taska yang terletak di Alor Akar, Kuantan berjumpa dengan teacher dan mengajukan beberapa soalan asas berhubung dengan taska tersebut. Namun, selepas mengambil kira faktor kedudukan taska berkenaan yang agak jauh dengan kediaman dan pejabat saya, saya terpaksa membatalkan hasrat untuk menghantar harith ke sana. Kemudian baru saya pertimbangkan taska yang berhampiran dengan rumah kami ini. Sekurang-kurangnya kalau saya terpaksa pulang lambat sedikit, abi boleh tolong ambilkan harith. Kalau saya terlambat ke pejabat, bolehlah abi tolong hantarkan. Hehehe.

Saya ada juga bertanyakan kepada teacher siti tentang nisbah cikgu dan anak-anak. Katanya seorang cikgu akan menjaga 4-5 orang anak. Rasa macam ok jugala. Sebenarnya tujuan utama saya nak hantar harith ke taska adalah supaya dia boleh berkawan, dan belajar  berkomunikasi. Itu jugalah sebab utama kami hantar harith ke sekolah waktu kat nihon dulu. Bukan sebab umi tak sempat nak jaga. Hehehehe. Dan sekurang-kurangnya bolehla harith belajar sesuatu kat taska nanti. Maklumlah kalu di rumah pengasuh apa sangatlah dia dapat belajar. Saya bukanlah memperkecilkan peranan pengasuh, saya akui selama ini beliau menjaga anak-anak saya dengan baik sekali. Namun pada pendapat saya, di rumah pengasuh bukanlah tempat paling sesuai untuk anak saya belajar.

Selama 6 bulan di rumah pengasuh, tiada benda-benda baru yang dibawa balik oleh anak-anak saya. Harith, alhamdulillah bagi saya dia senang menerima pelajaran. Seusia 2 tahun, dia sudah mengenal A-Z ..dia mengenal dan bukan menghafal. Semuanya kami lakukan di rumah. Harith belajar membaca doa makan & tidur juga di rumah. Namun, pembelajarannya seakan terhenti di situ. Sepatutnya sekarang di usia 3 tahun, dia sudah boleh membaca sukukata. Tapi saya masih lagi belum berjaya membawa dia ke arah itu. Saya tidak mengharapkan sesutu yang terlalu besar...kalaula harith boleh menyanyi sebaris dua lagu kanak-kanak,pasti ckup membuatkan hati umi & abi gembira...

Benarlah kata orang, pembelajaran bermula di rumah. Sebagai ibu bapa kita tidak boleh menyandarkan tugas mendidik kepada orang lain bahkan kitalah cikgu terhebat buat anak-anak kita. Kekangan masa, itulah masalah utama bagi ibu-ibu yang bekerja dan seringkali itulah juga alasan untuk kita membiarkan hari-hari terus berlalu tanpa sebarang pengisian yang secara tidak sedarnya kita menerbangkan segala potensi yang ada dalam diri anak-anak kita.

Semalam, ketika mata ini sudah mula mengantuk, waktu itu jugalah harith menghulurkan buku kegemarannya kepada saya untuk dibacakan sambil berkata, "umi, nak baca pasal ketam,baca kuda laut". Berbunga-bunga hati ini mendengar permintaan harith. Abi waktu itu dh ketawa besar mendengar tutur harith. Sempat juga belajar mengenai butterfly, ostrich dan  sea horse. Adik hasif juga tak mahu ketinggalan, terus duduk di riba sebaik saja buku dibuka. Selesai membaca, saya minta harith ceritakan semula ke abi. "abi, abi tau tak, caterpillar boleh bertukar menjadi butterfly." harith bersungguh-sungguh bercerita. Tersenyum-senyum abi mendengar cerita anak terunanya dengan penggunaan bahasanya yang tersendiri.

Akhirnya, saya memujuk harith untuk tidur. Menangis -nangis dia..."harith tak nak tidur, harith nak baca..nk baca pasal sea horse". Selepas berjanji untuk sambung malam besok, harith akhirnya akur. InsyaAllah semoga umi bisa meluangkan sedikit masa setiap malam buat menemani harith & adik hasif membaca.
Tentang Taska, saya meminta harith membuat pilihan sama ada untuk tinggal di rumah pengasuh atau ke sekolah, harith memilih untuk ke sekolah. Kalau benar hendak ke sekolah, saya meminta harith berjanji untuk bangun awal. Tapi hari ini, seperti selalunya harith tetap bangun lambat...huhuhu.

Bagi saya, rancangan untuk menghantar harith ke taska masih lagi dalam pertimbangan. Mudah-mudah keputusannya nanti adalah yang terbaik buat kami. InsyaAllah.




No comments:

Post a Comment