Wednesday, June 22, 2011

Nilai Seutas Gelang Emas

Tersentuh saya membaca blog zuriat berkat yang memaparkan balasan email yang diterima mengenai usaha seorang ibu tetap memelihara auratnya ketika hendak bersalin. Jujurnya saya bersetuju dengan Puan Noraslina Jusin mengenai makna 'darurat' itu sebenarnya.
Sebelum hamil lagi, saya memang berniat untuk check up dan bersalin dengan doktor perempuan. Bagi saya tiada istilah darurat memandangkan tidak melibatkan soal hidup dan mati dan masih terdapat doktor wanita. Hanya terserah kepada kita untuk menentukannya.

Saya mengikut suami ke Jepun waktu mengandungkan harith 3 bulan. Hari pertama kami ke hospital, suami request untuk dapatlkan doktor perempuan. Syukur kerna sepanjang proses check up sehingga bersalin, semuanya dilakukan oleh doktor wanita. Itu pengalaman semasa mengandungkan harith.

Semasa mengandungkan hasif pula, di Malaysia saya diperiksa oleh doktor wanita. Cuma ada 2,3 kali discan perut oleh doktor lelaki untuk memeriksa kandungan air ketuban saya yang agak banyak pada waktu itu. Saya akur kerna memang tak ada doktor pakar wanita pada ketika itu. Waktu melahirkan hasif juga disambut oleh doktor wanita. Cuma pada malamnya semasa pergi ke bilik doktor, agak terkejut kerna terpaksa diperiksa jahitan oleh doktor lelaki. Waktu tu di hospital kerajaan, yang ada hanya seorang doktor lelaki yang ditemani nurse. Apapun saya tetap berasa kesal hingga ke hari ini dan berdoa agar untuk anak-anak seterusnya, insyaAllah...semua proses dilakukan oleh doktor muslimah.

Minta untuk dikongsi ya..

Berikut emel yang dikirimkan :


"Saya begitu meminati ruangan Tanbih yang ditulis oleh Puan Noraslina Jusin kerana setiap artikelnya pasti memberi kesan yang tersendiri kepada pembaca.

Begitu juga dengan tulisan Puan Fatimah Syarha Mohd Noordin yang begitu saya minati hinggakan tiap-tiap patah perkataan yang ditulisnya saya cuba hayati satu persatu.

Bersyukur kepada Allah kerana insan-insan yang istimewa dan berbakat ini terus dilimpahi idea dan ilham dariNYA untuk sama-sama berkongsi dengan kami, para pembaca yang dahagakan ilmu.

Namun, isu Tanbih, bertajuk Darurat Bukan Semudah Itu tulisan Puan Noraslina benar-benar menyentap hati dan perasaan saya sebagai seorang ibu.

Pengalaman saya mendapatkan rawatan kehamilan di klinik dan hospital kerajaan sejak anak sulung hingga anak yang ketiga seolah-olah menjadi 'igauan ngeri' buat saya hingga sekarang.

Bukannya masalah masa menunggu yang lama atau layanan khidmat diberi kurang memuaskan, sebaliknya saya menerima 'sentuhan' tangan dari doktor yang berlainan jantina.

Tidak dinafikan ketika itu, saya masih berada dalam keadaan yang jahil berpegang kepada konsep 'darurat'. Jadi saya menyimpulkan tidak mengapa mendapatkan rawatan doktor lelaki sepanjang tempoh kehamilan.

Namun, ada juga rakan yang bertuah kerana mendapat 'sentuhan' doktor muslimah sepanjang kehamilan dan proses bersalin berlaku di hospital kerajaan. Syukurlah.

Paling tidak dapat saya lupakan apabila doktor lelaki yang memasukkan ubat ketika proses induce bagi mempercepatkan kelahiran.

Walau ditemani seorang jururawat wanita, perasaan malu tetap menebal sepanjang proses memasukkan ubat induce berlaku.

Malah, ketika dalam labour room pun, saya perasan ada dua orang doktor pelatih lelaki berada berhampiran saya dan melihat aurat saya ketika hampir hendak bersalin!.

Semoga Allah mengampuni dosa saya dan suami ketika itu kerana tidak berusaha mendapatkan rawatan dari doktor muslimah di hospital swasta.

Namun, ketika mengandungkan anak yang keempat tahun lepas, saya berazam untuk tidak membenarkan diri disentuh doktor lelaki sepanjang kehamilan.

Harapan saya itu disuarakan kepada suami dan Alhamdulillah suami sangat memahami rasional di sebalik permintaan saya itu.

Ujian Allah datang lagi. Ketika memasuki trimester ketiga kehamilan, perniagaan saya dan suami benar-benar merosot dan kami menghadapi masalah kewangan yang agak serius.

Saya agak buntu, kerana hasrat di hati ingin bersalin dengan mendapat rawatan dari doktor muslimah, tetapi caj di hospital swasta agak mahal.

Sedangkan jika bersalin di hospital kerajaan, bayaran yang dikenakan sangat berpatutan, namun kita tidak boleh memilih doktor.

Akhirnya, saya menggadaikan gelang tangan, satu-satunya emas kesayangan milik saya, dengan harapan dapat bersalin di hospital swasta dengan berbidankan seorang doktor muslimah.

Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya melahirkan seorang puteri dengan mudah, ditemani suami yang tidak putus-putus memberi semangat sepanjang proses kelahiran.

Sejak hamil, saya sudah berniat, andai bayi yang dikandung seorang puteri, biarlah dia menjadi seorang pakar perbidanan.

Semoga Allah membantu saya dan suami untuk mendidik anak perempuan kami ini berjaya menjadi doktor pakar Obstetrik dan Ginekologi apabila dia dewasa kelak.

Biarlah pengalaman saya dirawat doktor lelaki tidak dilalui oleh ibu-ibu hamil yang lain. Semoga lebih ramai wanita akan dapat menceburkan diri dalm bidang perbidanan, sekali gus menunaikan fardhu kifayah.

Sehingga kini, bayi saya berusia tiga bulan, membesar dengan sihat. Namun gelang emas kesayangan saya masih belum dapat ditebus.

Biarlah gelang emas itu terus dalam lipatan sejarah kerana Allah telah mengurniakan seorang puteri yang saya impikan selama ini.

Hati terubat ketika membaca artikel Puan Noraslina Jusin kerana sekurang-kurangnya saya sudah memilih dan melakukan yang terbaik untuk mendapat zuriat yang berkat.

Hati juga terubat kerana saya telah berusaha sebaik mungkin untuk memastikan diri disentuh oleh doktor wanita muslimah sepanjang kehamilan dan kelahiran bayi berlaku.

Sejujurnya saya agak kecewa kerana masih ramai di luar sana sempurna penjagaan auratnya di sepanjang masa, namun tewas ketika mendapatkan rawatan sepanjang kehamilan dan bersalin dengan doktor lelaki atas alasan darurat.

Ada yang berkata 'dengan doktor lelaki lebih mudah, lebih lembut layanannya'. Ada juga yang berkata 'doktor tu pun dah tak hairan dengan kita, sebab dia dah merawat ribuan pesakit, dah naik lali dah'.

Macam-macam alasan yang diberi untuk menghalalkan keadaan.

Harapan saya, agar isu ini dapat dikupas dengan lebih kemas dan teliti dalam keluaran yang akan datang.

Mungkin, masih tiada kesedaran atau tekad yang kuat untuk kita mendapatkan rawatan dari doktor muslimah sepenuhnya.
Wallahualam."

No comments:

Post a Comment